Kampus Insaniah dibangunkan mengikut jadual

KUALA KETIL, 5 Mei – Kampus tetap Kolej Universiti Insaniah (KUIN) di Kampung Pantai Chicar, di sini dalam Daerah Baling kini giat dibangunkan mengikut jadual.

Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak berkata, tapak kampus berkenaan berkeluasan 832 ekar dan kawasan kampus yang dibangunkan ialah seluas 360 ekar membabitkan pembinaan bangunan pentadbiran termasuk dewan-dewan kuliah.

“Asrama pula akan didirikan di zon dua dan tiga dalam fasa pertama yang boleh memuatkan kapasiti penuntut seramai sehingga 7,000 orang kerana penggunaan tanah secara berhemat,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sempena lawatan ke tapak pembinaan kampus tetap KUIN di sini.

Menurutnya, pembinaan kampus tetap ini dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2013 dan mampu menampung seramai 10,000 penuntut.

“Kita turut menerima permintaan seramai lebih 6,000 orang untuk memasuki KUIN dalam pelbagai bidang walaupun kampus tetap di sini belum lagi siap sepenuhnya,” jelasnya.

Menteri Besar memberitahu, Kerajaan Negeri akan memastikan Bina Darulaman Berhad (BDB) membina rumah terlebih dahulu sebelum membina kampus dan asrama KUIN bagi memberi kemudahan kepada penuntut KUIN.

“KUIN juga turut menyediakan fakulti perubatan dan dengan adanya fakulti ini akan dapat melahirkan pakar dalam bidang perubatan,” katanya.

Beliau menjelaskan, Yayasan Islam Negeri Kedah (YINK) diberi tanggungjawab bagi meningkatkan pencapaian penuntut yang menyambung pengajian di Maahad Tahfiz yang melibatkan Bahasa Arab, Usuluddin dan Al-Quran.

“Bagi jurusan hafalan ini, tempat yang bersesuaian serta pensyarah turut disediakan di samping ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri,” ujarnya.

Tambahnya, KUIN merupakan satu-satunya Institusi Pengajian Tinggi Islam di negeri ini yang menjalankan program Pengajian Islam secara berkembar dengan Universiti Al-Azhar, Mesir.

“Kini, KUIN terus menaikkan imej Kedah dengan menjadi pusat pengajian Islam yang terulung di rantau ini apabila dianggap oleh Universiti Al-Azhar sebagai cawangannya di Asia Tenggara,” katanya.

Hal ini, jelasnya, menarik lebih ramai penuntut asing untuk menyambung pengajian di sini seperti dari Thailand, Indonesia, Singapura, Brunei, Republik Rakyat China, Kemboja dan Iraq.

Turut hadir ialah Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri, Pengerusi Bina Darulaman Berhad, Dato’ Paduka Haji Mohd Saad Endut, Rektor KUIN, Profesor Dato’ Wira Dr. Jamil Osman dan Pegawai Daerah Baling, Tuan Haji Ahmad Fisol Haji Md Nor.

~wartakedah~

Tiada ulasan: