Al-Qaeda Beri Amaran Kepada Amerika

KAHERAH 7 MEI : Rangkaian Al-Qaeda hari ini berikrar membalas dendam ke atas Amerika Syarikat (AS) dan sekutunya termasuk Pakistan di atas pembunuhan ketuanya, Osama bin Laden sekali gus memberi amaran bahawa “kegembiraan Amerika akan berubah menjadi kesedihan.”

Kumpulan militan itu juga mengisytiharkan kematian Osama itu sebagai syuhada dan menggesa umat Islam di seluruh dunia supaya bangkit menentang Amerika.

“Osama tidak membina satu organisasi yang akan terkubur selepas kematiannya,'' kata kumpulan itu.

Bagaimanapun presiden Barack Obama menolak ancaman itu dan berikrar bahawa Amerika akan menghancurkan Al-Qaeda.

"Kita telah berjaya membunuh ketua mereka dan pasti akan mengalahkan semua mereka tidak lama lagi,” kata Obama selepas mesyuarat tertutup satu kumpulan tentera yang baru pulang daripada berkhidmat di Afghanistan.

Tentera komando Amerika menyerbu kediaman Osama di Abbotabad, Pakistan Isnin lalu dan menembak mati ketua kumpulan Al-Qaeda berkenaan.

Pada pertemuan itu, Obama memuji tenteranya atas kejayaan menghapuskan Osama sambil berkata Amerika berjaya 'memenggal kepala Al-Qaeda' sekali gus melumpuhkan rangkaian penganas itu.

Obama menyimpulkan kejayaan itu sebagai 'minggu bersejarah' yang penuh dengan mesyuarat dan merencanakan serangan sulit ke Pakistan bagi menghapuskan ketua Al-Qaeda itu selepas memburunya lebih 10 tahun.

“Saya mengambil peluang ini bagi pihak rakyat Amerika dan mereka di seluruh dunia yang bangga dengan kejayaan ini. Kita menamatkan misi ini dengan kejayaan," katanya kepada

“Kita sudah menghapuskan ketuanya dan kita sedang menewaskan mereka," katanya.

Sementara itu, mengesahkan kematian Osama buat kali pertama, Al-Qaeda juga membidas Pakistan dan menggesa rakyatnya supaya “membersihkan negara mereka yang telah dicemari Amerika.”

Puak Taliban Afghanistan juga membidas pembunuhan berkenaan. Perhimpunan kecil juga diadakan selepas solat Jumaat di beberapa tempat yang dipercayai akan memperkuatkan lagi azam mereka untuk menentang “penjajah asing.”

"Kami seru saudara Islam di Pakistan, di mana Sheikh Osama dibunuh supaya bangkit dan memberontak bagi membersihkan nama beliau,” kata Al-Qaeda dalam satu kenyataan.

- AFP

Tiada ulasan: