Al-Quran Tegah Umat Islam Saling Laknat-Melaknati




SHAH ALAM 2 MEI : Di samping tiada keperluan untuk mengangkat sumpah untuk saling laknat-melaknati, ia juga berkali-kali ditegah oleh al-Quran kata Pengerusi Sekretariat Ulama Asia, Ustaz Ghani Shamsuddin.

Seraya katanya, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak perlu untuk mengangkat sumpah bagi membuktikan bahawa beliau bukan pelaku dalam video lucah yang didedahkan oleh Trio Datuk T kerana apa yang lebih penting dalam kes ini ialah orang yang membuat tuduhan perlu mengemukakan empat saksi untuk membuktikan tuduhannya.

" Dalam Islam, kita diperintahkan supaya tidak mudah-mudah pergi mengumpulkan orang kemudian buat laknat mengutuk, minta Tuhan turunkan kutukan kepada kita sekiranya kita salah dan kepada orang sekiranya orang itu salah. Ini tidak boleh dilakukan dengan mudah sangat. Dalam hadis Rasulullah, banyak diingatkan jangan bermudah-mudah dalam hal ini.

Menurut Islam, sumpah Mubahalah bermaksud al-Mula’anah (saling melaknat), iaitu dua pihak yang bertelagah masing-masing berdoa kepada Allah dengan sungguh-sungguh agar Allah menurunkan laknat ke atas pihak yang berbohong atau berdusta di antara mereka berdua.

Namun menurut Ustaz Ghani ia hanya dilakukan pada zaman Rasulullah yang bersangkutan untuk menegakkan soal agama.

Sehubungan itu ujar Ustaz Ghani, setiap orang perlulah kembali kepada asas dalam hal ini kerana pertuduhan melakukan zina ke atas Ketua Umum PKR itu adalah tertakluk kepada undang-undang Qazaf dan ia harus diselesaikan mengikut mengikut lunas undang-undang yang betul.

Ustaz Ghani berkata demikian ketika diminta mengulas gesaan beberapa pihak yang meminta Anwar untuk mengangkat sumpah bagi membuktikan bahawasanya beliau tidak bersalah dan untuk mengelakkan buruk sangka.

" Dalam konteks undang-undang Islam, satu peruntukan yang berkaitan dengan jenayah, tidak boleh dibawa kepada peruntukan yang lain. Umpamanya kes zina dan Qazaf ini, tidak boleh kita bawa kepada persoalan umum mengenai akidah, kebenaran, pegangan yang biasa," jelas Ustaz Ghani.

" Jadi oleh kerana itu, jika ada sesiapa yang cuba memutar belit atau tunggang langgang kaedah syarak ini dengan membawa kes yang khusus, yang ada peruntukan dalam syarak kepada peruntukan lain yang tidak ada kena mengena, maka orang-orang itu sedang melakukan kesilapan," tambahnya lagi.

Jumaat lalu, ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah mewakili dua lagi gandingan Datuk T telah mengangkat sumpah laknat bahawa individu dalam klip video seks yang didedahkan adalah Anwar dan beliau berada di tempat kejadian.

Namun hal ini dinafikan sama sekali oleh Anwar yang juga ahli parlimen Permatang Pauh itu.

Bahkan Angkatan Muda Keadilan (AMK) telah membuat laporan Qazaf ke atas Datuk T berhubung tuduhan zina mereka terhadap Anwar.

Laporan Qazaf itu dibuat di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) petang tadi.

Ketua AMK Shamsul Iskandar Md Akin berkata laporan qazaf dibuat mengikut seksyen 41 Akta Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan.

" Kalau dia mengaku dia dalam video itu, siapa dia? Adakah dia yang melakukan perbuatan itu sehingga menjadikan filem hitam putih sehingga tidak ketara siapa yang lebih putih, atau siapa yang lebih gelap. Orang-orang yang menurut kaedah ini dan meminta Anwar berbuat begitu juga, pada saya ia tidak tepat dan bercanggah dengan syarak," jelas Ustaz Ghani lagi.

Sebelum ini Mufti Perak, Datuk Harussani Zakaria menegaskan Anwar tidak perlu melakukan sumpah mubahalah.

Malah katanya, Anwar tidak boleh disabitkan dengan sebarang kesalahan atau dijatuhkan hukuman kerana pelaku dalam rakaman video seks yang didedahkan Datuk T masih belum dibuktikan.

Tegas, Harussani sebarang tuduhan atau pendakwaan terhadap Anwar perlu dilakukan di mahkamah dan bukan di khalayak ramai termasuk sumpah mubahalah.

Senada dengan Harussani, Ustaz Ghani sekali lagi mengingatkan bahawa tidak ada keperluan untuk Anwar mengangkat sumpah.

" Pada saya, Datuk Seri Anwar tidak perlu bersumpah dan tidak perlu bermubahalah bermula'anah kerana itu ditentang dalam Islam dan perkaranya di sini bukan berkaitan dengan sumpah tetapi tentang saksi. Oleh kerana ia membuat tuduhan, maka dia perlu bawa saksi," tegasnya,

1 ulasan:

LibangLibu berkata...

Tuan blog,

Saya ini blogger kecil-kecilan, teringin sama melebarkan jaringan pembaca.

Kalau tuan tak keberatan, mintak letakkan blog saya dlm blogroll tuan yg kerap saya baca.

t/kaseh