Tatatertib: Pelajar Kuin minta PAS campur tangan

KUALA LUMPUR, 13 Mei: Sekumpulan mahasiswa hari ini meminta Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang campur tangan berhubung tindakan tatatertib yang dikenakan kepada enam mahasiswa Kolej Universiti Insaniah (Kuin), Kedah.

Permintaan itu terkandung dalam satu memorandum yang diserahkan kepada Naib Ketua Pemuda PAS, Sabki Yusuf di ibu pejabat PAS, Jalan Raja Laut, hari ini.

Memorandum itu turut mengandungi gesaan agar Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ustaz Azizan Abdul Razak menubuhkan panel siasatan bagi mengkaji tindakan berkenaan.

Selain itu, mereka turut mendesak Rektor Kuin, Prof. Datuk Wira Dr. Jamil Bin Osman menggugurkan semua pertuduhan yang dikenakan ke atas enam orang mahasiswa yang telah diberi surat tunjuk sebab.

Enam mahasiswa tersebut diberikan surat tunjuk sebab selepas terlibat dalam perhimpunan aman di pekarangan Kolej Kediaman Ar-Raziy, Kuin kerana membantah tindakan pengurusan kolej menjadikan bangunan Maahad Tahfiznya sebagai Sekolah Insan Bestari (SIB).

Kesemua mereka merupakan warga tahfiz Kuliyyah al-Quran kolej berkenaan.

Bangunan Ar-Razi merupakan hakmilik Ma'had Tahfiz Al-Quran negeri Kedah sejak dahulu lagi tapi telah diambil alih oleh pihak pentadbiran KUIN untuk menampatkan sekolah bestari.

Penyerahan memorandum tadi disertai kira-kira 30 mahasiswa yang mewakili Gerakan Mahasiswa Insaniah (GMI), Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Majlis Perwakilan Mahasiswa Nasional (MPMN) dan Legasi Mahasiswa Progresif (LMP).

Mereka turut membantah sebarang bentuk tindakan tatatertib pihak pentadbiran Universiti terhadap mahasiswa yang terlibat dengan kegiatan aktivisme.

Difahamkan memorandum yang sama turut diserahkan kepada Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim di ibu pejabat parti itu di Damansara.

~HARAKAHDAILY~

Tiada ulasan: