Cinta kepada Allah adalah cinta paling agung

SUNGAI PETANI, 8 Mei 2011 – Cinta kepada Allah pencipta sekelian alam merupakan cinta teragung dan dengan keikhlasan mencintaiNya dapat menghindarkan diri terjebak kepada perkara mungkar dan maksiat.

“Kita yang teragung adalah cinta kepada Allah, seterusnya kita kena cinta Rasul, cinta kepada ibu bapa dan cinta kepada keluarga. Kebelakangan ini kasih sayang antara sesama adik beradik menjadi rapuh dan semakin renggang,” ucap Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Kebajikan Masyarakat, YB Siti Ashah Ghazali.

Tambahnya lagi, cinta perlu diletakkan kepada tempat yang berhak dan bukanlah menjadi lelongan murahan hingga menimbulkan perkara-perkara yang tidak baik.

“Selain kita mencintai saudara mara, kita dituntut mencintai sahabat. Tidak sempurna iman seseorang sehingga ia mencintai sahabatnya seperti mencintai dirinya sendiri.

“Tapi ingatlah, sahabat yang saya maksudkan sahabat sesama jenis, bukan berlainan jenis. Bukan tidak boleh berkawan dengan lelaki tetapi perlu ada batasan,” ujarnya di hadapan kira-kira 400 orang beliawanis.

Sambung beliau lagi, cinta yang tiada pedoman boleh menjerumuskan seseorang kekancah yang tidak baik. Bukan itu sahaja malah kejahilan dalam menjaga kecantikan diri menjadi faktor-faktor penyuburan gejala-gejala tidak bermoral.

“Ramai remaja di luar sana tidak tahu menilai menjaga kecantikan diri. Cantik yang ada di diri kita perlu ditutup dan tidak dipamerkan kepada orang yang tidak berkenaan yakni orang yang bukan muhrim kita.

“Kecantikan itu anugerah Allah dan ianya untuk orang yang hak sahaja. Cuba kita ambil contoh, antara makanan yang ditudung dengan makanan yang terdedah, mana satu kita pilih? Tentu kita pilih yang bertudung sebab ia tidak tercemar dari lalat dan lain-lain kotoran. Begitu juga dengan aurat dan kecantikan kita,” nasihatnya.

Beliau turut menyentuh penggunaan Facebook, Twitter dan lain-lain kemudahan IT yang salah guna oleh remaja hinggakan boleh mengundang perkara-perkara negatif.

“Mula-mula sms, lepas tu dating, dah dating mulakan berpegangan, lahirlah, ‘ I love you, you love me’ dan akhirnya terlanjur.

“Kita dituntut menjauhi zina. Benda-benda seperti itu mulanya nampak biasa tapi akhirnya kalau tidak dikawal, natijahnya merosakkan diri kita sendiri.

“Kes-kes pembuangan bayi ini sebenarnya berpunca dari cinta yang songsang dan tak berpandukan Islam. Semuanya rentetan kepada yang saya katakana tadi, sms, jumpa, berpegangan, kemudian serah diri dan akhirnya berlakulah penzinaan,”tegasnya.

Katanya, kerajaan negeri akan bersama dengan NGO atau pertubuhan belia dalam merancang program untuk mendekatkan remaja terutama yang memerlukan perhatian dan sokongan. Remaja hari ini merupakan aset negara untuk masa yang akan datang. Rosak remaja rosaklah negara, baik remaja maka baiklah negara.

“Saya mengharapkan remaja kini jadilah remaja yang kental serta kuat fizikal dan mental di samping mempunyai persediaan diri.

“Remaja masa depan negara, remaja yang berilmu dan berakhlak mulia diperlukan untuk memimpin negara untuk masa akan datang,” katanya lagi.

Beliau seterusnya menyempurnakan penutupan Karnival Cinta dan Cantik di Dewan Besar Institut Kemahiran Mara (IKM), Sungai Petani.

Karnival tersebut dianjurkan oleh Persatuan Beliawanis Merbok dan kerjasama Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSP). Turut hadir, YDP MPSPK, Puan Rozaina Dato’ Paduka Haji Radzi.

~wartakedah~

Tiada ulasan: