Kereta Anwar Disabotaj, Kata Pemandu

PETALING JAYA 10 MEI : Pemandu peribadi kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesyaki ada usaha mensabotaj kereta majikannya sehingga berlakunya kemalangan pada 19 April lalu.

Abdullah Sani Said yang menjadi pemandu keluarga Anwar selama 28 tahun, percaya kereta itu dirosakkan dengan niat jahat dan mahukan polis menyiasat.

Beliau membuat laporan di Balai Polis Merchant Square, Petaling Jaya pada jam 3.30 tadi.

Abdullah mendakwa tindakan merosakkan kenderaan Mercedes Benz S350 itu sebagai satu bentuk ancaman.

Mengimbas kemalangan itu kira-kira dua minggu lalu, Abdullah Sani berkata, kereta Mercedes Benz yang membawa isteri Anwar, Datuk Seri Wan Azizah Ismail dan setiausaha politik kepada Menteri Besar Selangor Faekah Husin menghadapi masalah dalam perjalanan balik dari Chemor, Perak.

“Sistem brek tiba-tiba bergegar kuat, kedengaran bunyi pecah di bahagian belakang," katanya kepada pemberita.

Selepas itu, kata Abdullah Sani, sebuah lori memotongnya sehingga memaksa beliau menghentikan kereta itu secara mengejut di Lebuhraya Utara-Selatan itu.

Kereta mewah itu bergoyang dan kedengaran letupan datang sebelah belakangnya.

Selepas meletakkan kereta di tepi tepi jalan, Abdullah menjumpai beberapa bahagian cakera brek bertaburan di atas jalan, sekali gus menjadikan kereta itu tidak boleh bergerak lagi.

Menurut Abdullah, seorang mekanik yang memeriksa kereta itu mendedahkan pin pada nat untuk menyokong cakera brek telah dikeluarkan.

Abdullah berkata adalah mustahil nat itu boleh tercabut dengan sendirinya.

Justeru, beliau percaya terdapat usaha mencederakan atau membunuh Anwar dan keluargannya.

Memasukkan pengakuan mekanik itu dalam laporan polisnya, Abdullah Sani berkata beliau kini risaukan keselamatan Anwar dan keluarga.

Tiada ulasan: