Kerajaan beri insentif pengusaha tanah terbiar

ALOR SETAR – Kerajaan negeri mengalu-alukan penduduk kampung yang mempunyai tanah terbiar mengusahakannya bagi mendapatkan hasil.

Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Pertanian dan Industri Asas Tani, Bioteknologi, Pembangunan Luar Bandar dan Basmi Kemiskinan, YB Dato’ Ir Amiruddin Hamzah berkata, kerajaan negeri memberi insentif kepada tuan tanah yang ingin mengusahakannya tetapi kekurangan modal.

“Kebanyakan tanah yang ada di Kedah sudah bermilik, ada yang tanam dengan pokok-pokok buah-buahan, ada yang ditinggalkan begitu sahaja.

“Jadi tanah terbiar ini, kerajaan negeri dah buat satu polisi, kalau mukim itu ada 10 hektar, bertompok-tompok pun boleh, kita himpun buat satu projek 10 hektar untuk satu mukim.

“Maka kerajaan negeri akan beri insentif kepada tanah terbiar ini sebanyak RM20 ribu untuk satu hektar, 70 peratus daripadanya untuk buat infrastruktur seperti longkang dan jalan masuk, lagi 30 peratus untuk beli benih dan baja.

“Oleh itu, kerajaan negeri mengharapkan supaya tanah-tanah terbiar yang ada kita usahakan bagi mendapatkan hasil serta suburkan tanah kurniaan Tuhan,” jelas beliau.

Tambah beliau, dengan usaha ini dapat memastikan tanah-tanah terbiar yang ada dapat dimanfaatkan, menjamin bekalan makanan negeri serta negara dan juga memberi pendapatan kepada rakyat.

~wartakedah~

Tiada ulasan: