Penduduk lega kerajaan negeri beri tanah

Oleh : Sarina Ismail

SIK, 24 Mei 2011 – Proses penyerahan tanah daripada Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) amat penting kepada penduduk yang sekian lama menanti diberi hak milik tanah kediaman serta ladang yang telah diperuntukkan.

Penduduk yang terlibat dengan projek Empangan Beris lebih sepuluh tahun yang lalu menarik nafas lega kerana proses penyerahan tanah tersebut membolehkan proses pengeluaran hak milik dapat disegerakan. Penduduk hanya perlu membayar premium apabila notis daripada pejabat tanah dikeluarkan kelak.

Menurut Pegawai Daerah Sik, Dato’ Haji Ismail Said, terdapat banyak cadangan lokasi seperti di Cheba dan Chenderai tetapi akhirnya kerajaan negeri memilih Sungai Pau sebagai lokasi penempatan memandangkan kedudukannya yang strategik serta berdekatan dengan pelbagai kemudahan awam.

“Kerajaan telah memperuntukan sejumlah wang yang besar dalam menyediakan kemudahan prasarana dan kemudahan yang lengkap. Menjadi tanggungjawab penduduk untuk menjaga dan manfaatkannya supaya masyarakat penempatan ini dapat menjadi contoh terbaik dalam segala aspek kehidupan,” ujarnya lagi.

Seramai 49 orang menerima geran tanah masing-masing daripada kerajaan negeri yang disampaikan oleh Menteri Besar, YAB Dato’ Seri Ustaz Azizan Abd Razak dalam majlis tersebut.

Majlis penyerahan tanah tersebut adalah lanjutan dari projek Empangan Beris kira-kira sepuluh tahun lalu yang melibatkan tanah seluas 486.4 hektar merangkumi tiga bidang tanah hak milik penduduk kampung. Penduduk yang terlibat telah diberi pampasan dengan dihadiahkan dengan tanah kediaman, rumah dan ladang getah yang sedia untuk ditoreh.

Majlis diadakan di Dewan Bandar Baru Beris Jaya, Sungai Pau, Sik. Kira-kira 1500 orang hadir di majlis tersebut.

Tiada ulasan: