Pemilihan : PAS Pusat Perlukan Pemimpin Kelantan, Kata Tuan Guru Nik Aziz

KUALA LUMPUR, 27 Mei — Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata kepimpinan PAS Kelantan diperlukan dalam pentadbiran pusat parti itu bagi menyumbang pengalaman dan pentadbiran komponen Pakatan Rakyat (PR) itu.

Justeru, Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, beliau menyokong penuh dua Exco Kerajaan Negeri bertanding kerusi naib presiden pada pemilihan akhir minggu depan.

Dua exco itu ialah Datuk Husam Musa dan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Selain dua wakil rakyat itu, seorang lagi yang bertanding kerusi naib presiden kali ini ialah Salahuddin Ayub.

Salahuddin yang mahu mempertahankan jawatannya merupakan ahli Parlimen dari Kelantan, tetapi berasal dari Johor.

“Kelantan ada kerajaan PAS. Oleh itu perlu ada pemimpin PAS Kelantan di pusat, nak jadi timbalan presiden atau naib presiden itu masalah kedua, yang penting ada calon supaya pengalaman di Kelantan boleh dibawa ke pusat, maka orang ini boleh jawab dengan jelas,” kata Nik Aziz (gambar) dipetik Sinar Harian hari ini.

Bagaimanapun, Nik Aziz memberitahu jika terpilih beliau menasihatkan pemimpin berkenaan perlu bijak membahagikan masa antara jawatan parti dan pentadbiran negeri bagi mengelak sebarang masalah pada masa depan.

“Tidak ada masalah walaupun dua orang... (tetapi) jangan jejas mesyuarat Kelantan, masa mesyuarat Exco ada, nak atur macam mana terpulang, jangan bertembung.

“Macam pengalaman sebelum ini, Datuk Halim Abdul Rahman (bekas timbalan menteri besar) yang dilantik (ke) Dewan Harian, banyak dia tak dapat hadir,” kata beliau dalam laporan itu.

Menyentuh mengenai pertandingan peringkat timbalan presiden, Nik Aziz memilih untuk berkecuali dan menyerah kepada perwakilan walaupun spekulasi mengatakan beliau menyokong naib presiden Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

“Itu saya tidak boleh komen, kebetulan Tuan Ibrahim anak saudara saya. Kalau saya sokong pun, saya tidak boleh sebut,” katanya lagi.

Awal minggu ini, Tuan Ibrahim mengumumkan akan bertanding jawatan timbalan presiden, kerusi yang hendak dipertahankan oleh Nasharudin Mat Isa.

Ahli jawatankuasa kerja PAS pusat Mohamad Sabu juga memutuskan untuk bersaing di peringkat timbalan presiden.

Dalam pada itu, jawatan naib presiden PAS bakal menyaksikan pertarungan melibatkan enam penjuru termasuk tiga daripadanya wakil rakyat dari Kelantan.

Selain Husam, Mohd Amar dan Salahuddin turut akan bertanding ialah Datuk Mahfuz Omar, bekas menteri besar Perak Datuk Seri Nizar Jamaluddin dan Ketua Penerangan Idris Ahmad.-malaysianinsider

1 ulasan:

puakPas berkata...

puakPas said...
Husam Musa terpaksa menerima kenyataan, bahawa politiknya dalam PAS menjadi kelam sepertimana dialami oleh Khairy Jamaluddin dalam UMNO.
Kepada ahli PAS, Husam tidak lagi sehebat sebagaimana Husam yang bertanding jawatan Naib Presiden satu ketika dahulu. Bahkan beliau sekarang dilihat sudah kehilangan sokongan padu daripada PAS Kelantan dan penyokong beliau sebelum ini.
Dengan dua naib presiden yang menawarkan diri untuk mengekalkan jawatan, dan satu tempat yang masih kosong, maka Husam terpaksa menghadapi dua calon pilihan, Nizar dan Idris Ahmad.
Pemilihan kali ini mungkin lebih perit kepada Husam, jika ust. Nik Amar juga menawarkan diri untuk menyertai pemilihan kali ini. Dimana dakwaan Husam untuk menjadi calon mewakili PAS Kelantan akan terbatal, apa lagi Nik Amar lebih dilihat sebagai calon yang mewakili PAS Kelantan. Bahkan Husam akan ketinggalan, jika momokan bahawa seorang Naib presiden mesti diisi dari kelompok agama menjadi kenyataan.
Jika Idris Ahmad bersetuju menarik diri, maka Husam terpaksa berputih mata sebelum bertanding. Kerana jelas penarikan diri tersebut adalah untuk memberi laluan kepada Nik Amar dan memenuhi kehendak ahli Pas, salah seorang Naib Presiden akan dipilih dari kelompok agama, atau mewakili PAS Kelantan yang tidak mempunyai wakil dalam jawatan tertinggi PAS.
Mungkin Husam cuba berpaling ke belakang semula dengan bertanding calon Naib Presiden, namun masa lampau beliau ketika beliau mengidam jawatan Tim. Presiden parti, masih diingati oleh ahli PAS. Dengan menggunakan isu kelompok ulama dan kelompok bukan ulamak (erdogan), beliau dilihat cuba merendah-rendah peranan ulamak dalam PAS.
Bahkan pendedahan daripada seorang blogger (berpaling tadah), bahawa terdapat usaha untuk menjatuhkan TGHH sebagai Presiden parti merupakan sesuatu yang mengecewakan kelompok agama.
Keadaan bertambah parah, apabila hubungan keluarga TGNA dengan Husam nampak kurang selesa. Keadaan betambah panas, apabila Nik Abduh mendakwa kritikan bapanya kepada pimpinan parti dipengaruhi oleh orang tertentu.
Keadaan ini dipanaskan lagi, apabila Aziz Bari memberi komen tajam terhadap TGHH, dan ini telah mencetuskan rasa tidak puas hati ahli PAS kepada Husam. Dimana sebelum ini Aziz Bari dilihat sebagai orang luar yang berkempen untuk Husam. Bahkan pecalonan Husam sebagai Presiden parti oleh sebuah kawasan telah dilihat sebagai perancangan gelap dan mempunyai hubungan dengan komen Aziz Bari.
Adakah PAS Kelantan akan memperolehi wakilnya dalam jawatan tertinggi parti, atau terus menerima jawatan yang disedekahkan, merupakan penanda aras kepada penerimaan ahli parti dan ketokohan kepimpinan PAS Kelantan diperingkat pusat.
Adakah Nik Amar akan menawarkan diri sebagai calon Naib Presiden dan cuba memenangi salah satu jawatan Naib Presiden?. Jawapannya hanya diketahui selepas pemilihan nanti.
May 25, 2011 9:43 PM
(*ini yang telah aku catat dalam blog kawan kita)