Bebaskan RTM Sebelum Diswastakan

SHAH ALAM 24 MEI : Radio Televisyen Malaysia (RTM) disaran membebaskan diri daripada cengkaman pemerintah UMNO BN terlebih dahulu sebelum bercadang untuk melangkah ke arah pengkoparatan.

Pengerusi Media Adil Tuntutan Awam (MATA), Dzulkarnain Taib berkata jika RTM masih menjadi penyiar rasmi kerajaan, matlamatnya untuk berjaya sebagai agensi perbadanan atau swasta tidak akan berjaya.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim yang mengumumkan sebahagian perkhidmatan RTM akan diperbadankan atau diswastakan agar lebih efisien serta meningkatkan tahap daya saingnya.

Dzulkarnain berkata RTM adalah sebuah agensi media rasmi yang menggunakan dana awam seharusnya menonjolkan imej organisasi yang mementingkan hak rakyat untuk mendapatkan maklumat yang seimbang serta tidak hanya memihak kepada satu pihak sahaja.

MATA turut menyatakan kekesalannya apabila RTM dimanfaatkan untuk berkhidmat kepada parti yang memerintah iaitu UMNO-BN semata- mata, sekaligus menafikan hak parti-parti pembangkang seperti PKR, PAS, DAP.

Contoh yang jelas dapat dilihat baru-baru ini ketika kejadian tanah runtuh di Hulu Langat Sabtu lepas, saluran RTM termasuk stesen televisyen di bawah Kumpulan Media Prima hanya menayangkan wajah serta aksi pemimpin BN menyalurkan bantuan kepada mangsa tragedi tetapi langsung tidak melaporkan sumbangan serta bantuan yang disampaikan kerajaan negeri Selangor termasuk Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, barisan EXCO dan ramai pemimpin Pakatan Rakyat yang lain.

Justeru, MATA mendesak RTM serta media swasta seperti Media Prima dan Astro supaya lebih adil dalam membuat liputan berita yang melibatkan kepentingan rakyat.

Melalui maklumat yang diperolehi daripada kedua-dua belah pihak rakyat mampu membuat penilaian yang adil dan seimbang dalam isu-isu berkepentingan negara.

Tiada ulasan: