Nizar Sahkan Bertanding Saat-Saat Akhir

KUALA LUMPUR 26 MEI : Bekas menteri besar Perak Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin menamatkan teka-teki dengan menjadi orang terakhir mengesahkan bertanding merebut jawatan naib presiden dalam pemilihan PAS kali ini.

Pihaknya telah menghantar surat pengesahan ke Pejabat Agung PAS sebentar tadi, lapor Harakahdaily.

Dianggap sebagai 'selebriti' PAS, Mohamad Nizar dijangka mampu memberikan tentangan hebat kepada dua calon pilihan iaitu Salahudin dan Husam.

Beliau akan menghadapi pertembungan enam penjuru dengan dua penyandang sekarang, Salahudin Ayub dan Datuk Mahfuz Omar; dua exco Kelantan Datuk Husam Musa dan Mohd Amar Nik Abdullah; dan Idris Ahmad.

Manakala Bendahari Agung PAS Dr Hatta Ramli yang sebelum ini mahu bertanding membuat 'pusingan u' beberapa jam sebelum tutup waktu akhir pengesahan pada jam 5 petang ini.

Bintang baru PAS itu mula menyinar selepas dilantik memimpin kerajaan Pakatan Rakyat di Perak susulan kemenangan gabungan itu dalam pilihan raya umum 2008.

Antara 3 calon pilihan

Sebelum ini ramai yang tidak mengenalinya, tetapi selepas bergelut mempertahankan 'maruah' kerajaan Pakatan Rakyat daripada dirampas, menyebabkan karismanya semakin menyerlah.

Walaupun kerajaan Pakatan yang dipimpinya runtuh selepas 11 bulan, beliau masih berjaya mengekalkan momentum pembangkang apabila menang dalam pilihan raya kecil parlimen Bukit Gantang pada April 2009.

azlanTidak terhenti di situ, beliau kemudiannya menang dengan undi terbanyak dalam pemilihan parti dua bulan kemudiannya selepas bergelar ahli parlimen.

Sehubungan itu, pemerhati politik melihat beliau merupakan salah seorang calon pilihan untuk mengisi kekosongan satu daripada tiga kerusi naib presiden.

Sementara itu, dua lagi calon tumpuan dalam persaingan itu adalah exco kerajaan Kelantan Datuk Husam Musa dan naib presiden sekarang Salahudin Ayub.

Husam sebelum ini pernah menyandang jawatan itu. Beliau merupakan bekas setiausaha politik Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Aziz Nik Mat dan dianggap anak emas mursyidul am PAS itu.

Lebih mudah pilih

Manakala Salahudin yang juga ahli parlimen Kubang Kerian antara pemimpin kanan PAS yang diberikan kepercayaan menggalas tanggungjawab besar mengetuai pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang dan DUN Tenang sebelum ini.

azlanPemerhati politik juga menyifatkan tentangan ahli parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz juga tidak kurang hebatnya khusus perjuangannya membantah saman ekor melalui kempen Anti Saman Ekor (KASE).

Bagaimanapun ketika mengumumkan pendiriannya bertanding naib presiden, beliau mengakui 'agak sulit untuk mendapat tempat' kerana kemampuan dan kebolehan calon lain.

Mohd Amar dan Idris pula dilihat sebagai calon yang boleh mengisi 'kuota ulama' bagi menggantikan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang mengesahkan untuk bertanding jawatan timbalan presiden.

Disebabnya hanya enam -- daripada 14 yang layak -- menyahut pencalonan kawasan, ia lebih memudahkan sejumlah 1,100 perwakilan membuat pilihan.-Malaysiakini

Tiada ulasan: