PR, NGO Bersama Rakyat Mesir





KUALA LUMPUR 31 JAN : Sekitar 300 orang dari kumpulan Gabungan Parti Pembangkang dan beberapa badan bukan kerajaan hari ini menghantar nota bantahan ke Kedutaan Besar Mesir di sini pagi tadi.

Namun selepas setengah jam berkumpul, wakil kedutaan memaklumkan bahawa pihak mereka enggan menerima memorandum berkenaan.

Memorandum bantahan tersebut adalah bantahan terhadap tindakan keras kerajan Mesir ke atas penunjuk perasaan selain mendesak Presiden Mesir Hosni Mubarak meletak jawatan.

Bantahan tersebut dibuat sebagai tanda solidariti rakyat Malaysia kepada perjuangan rakyat Mesir yang selama ini dicengkam kezaliman pemimpinnya.

Kumpulan gabungan pemimpin dan NGO hari ini berarak dari kawasan tempat letak kereta tidak jauh dari kedutaan dengan membawa poster pemimpin Mesir dengan lambang zionis di dahi sambil melaungkan slogan 'Down Mubarak'.

Kumpulan tersebut cuba mendapatkan kebenaran bagi bertemu dengan wakil kedutaan Mesir bagi menyerahkan nota bantahan tersebut.



Namun memorandum berkenan tidak berjaya diserahkan kepada wakil kedutaan Mesir dan hanya diserahkan melalui peti pos.

" Kita menghantar memorandum kepada kedutaan mesir iaitu tanda solidariti rakyat malaysia bersama dengan rakyat Mesir. Kita minta yang berkuasa di Mesir khasnya penaung mereka Amerika Syarikat tidak melakukan kezaliman, pembunuhan kepada rakyat awam yang tidak bersenjata.

" Sudah tiba masanya pemerintah zalim Mesir itu mendengar kata-kata rakyat yang keluar ke jalan raya untuk menuntut perubahan kerana mereka tidak boleh melakukan perubahan melalui pilihanraya, kerana pilihanraya di sana tidak adil dan saksama," kata AJK PAS Pusat, Muhammad Sabu kepada pemberita.

Antara yang pada penyerahan memo pagi tersebut ialah Ahli parlimen Batu, Tien Chua, Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad, Ketua Pemuda PAS, Ustaz Nasrudin Hassan, Ahli Majlis Pimpinan PKR, Badrul Hisham Shaharin dan Pengerusi Gerakan Mansuhkan ISA, Syed Ibrahim Syed Noh.

Mereka turut menyatakan pendirian yang sama dan tidak berbelah bahagi kepada rakyat Mesir bagi menuntut kebebasan dan memastikan amalan demokrasi dilaksanakan di negara itu.

Sementara itu, Nasrudin menggesa layanan secara adil diberikan kepada peserta demonstrasi dan pengamal media yang ditahan.

"Kami mengutuk sekeras-kerasnya sebarang bentuk keganasan dan kekasaran yang dilakukan kepada peserta demonstrasi oleh rakyat Mesir. Sebaliknya mereka harus dilayan secara adil dan bebaskan semua tahanan demonstrasi dan pengamal media kerana jelas bercanggah dengan hak asasi manusia," katanya.

Memorandum tersebut antara lain menyatakan pendirian mereka yang menyokong sepenuhnya tuntutan rakyat Mesir agar Mubarak berundur dari takhta pemerintahannya.

Kumpulan yang sama akan meneruskan gesaan dan bantahan melalui himpunan rakyat yang akan diadakan pada 4 Februari ini.

Perhimpunan itu nanti akan diadakan bermula dari Masjid KLCC menuju ke Kedutaan Amerika Syarikat sebaik sahaja selesai solat Jumaat.

Perhimpunan aman tersebut diadakan sebagai menunujukkan sikap kebersamaan rakyat Malaysia dengan perjuangan rakyat Mesir bagi melepaskan diri dari cengkaman pemerintahan Mubarak yang penuh kezaliman sejak 30 tahun lalu.

Keadaan di Mesir bergolak sejak minggu lalu berikutan ribuan penunjuk perasaan menuntut Mubarak berundur.

Keadaan di Mesir dilaporkan semakin tegang selepas perintah berkurung diisytiharkan di beberapa bandar utama dan berikutan itu Wisma Putra mungkin membawa pulang lebih 11,000 pelajar Malaysia jika keadaan semakin buruk.

Menurut laporan agensi berita antarabangsa, bantahan besar-besaran yang bermula sejak Selasa lalu di Kaherah, Iskandariah, Suez, Dumiyat, Tanta dan Mansoura menyebabkan lebih 1,000 penunjuk perasaan ditahan polis, mengorbankan hampir 100 nyawa dan lebih 1,000 lagi cedera.

Tiada ulasan: