Kes Fitnah 2 : Pakar HKL Buat Kenyataan Bercanggah-Sankara




KUALA LUMPUR 14 FEB : Perbicaraan kes fitnah 2 Datuk Seri Anwar Ibrahim sesi petang dikejutkan apabila saksi ke-4, pakar jagaan kecemasan Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Khairul Nizam menjelaskan bahawa pengadu Saiful Bukhari Azlan telah membersihkan diri sebelum hadir ke HKL untuk diperiksa oleh doktor pada 28 Jun 2008.

Kenyataan tersebut sekaligus bercanggah dengan keterangan Saiful sebelum ini yang mengakui beliau tidak mandi selama dua hari sebelum hadir ke hospital tersebut.

Peguambela Sankara Nair yang ditemui di perkarangan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berkata, perkara itu akan diambil perhatian oleh peguambela.

"Dalam kenyataan Saiful kata dia telah bersihkan diri," jelas beliau.

Sebelum itu sesi soal balas bersama pakar patologis, Dr Siew Sheue Feng menyaksikan banyak maklumat cuba diabaikan oleh beliau justeru bersikap bias dalam memberi keterangan kepada mahkamah.

Menurut Sankara, borang laporan 'pro-forma' turut diisi oleh anggota polis dan doktor yang dikhuatiri tidak mengikut prosedur.

"Sepatutnya banyak perincian tapi nampaknya tidak banyak. Jadi kami anggap beliau (Dr Siew) bersikap bias dan tidak telus dalam menjelaskan laporan kepada mahkamah.

"Borang pro forma itu hanya dilengkapkan tiga muka surat sahaja. Tulisan pun ada dua orang lain iaitu polis dan doktor. Itu macam tidak betul dan tidak ikut syarat. Jadi kita akan hujah nanti," jelas beliau lagi.

Perbicaraan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim akan bersambung pada hari Rabu 16 Februari nanti jam 8.30 pagi.

Tiada ulasan: