Anwar: Negara Bankrap Dakwaan Najib Tidak Berasas



BANDAR MELAKA 16 FEB: Dakwaan mengatakan negara akan bankrap jika mengutamakan kepentingan rakyat adalah tidak benar sama sekali.


Perkara ini ditegaskan sekali lagi oleh Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap di majlis Tahun Baru Cina di sini malam tadi.


Beliau yang juga Ketua Pembangkang berkata dakwaan dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak itu tiada asasnya dan tidak boleh diterima kerana tidak pernah berlaku di dunia ini sesebuah negara itu mengalami bankrap atau muflis seandainya rakyat dipentingkan dan dibantu demi mencapai tahap kehidupan yang lebih baik.



Apa yang berlaku tambahnya sesebuah kerajaan itu akan mengalami keadaan dimaksudkan jika pemimpin atau pentadbir sesebuah kerajaan itu melakukan penyelewengaan dan penyalahgunaan kuasa serta mengaut setiap kekayaan dimiliki negara demi kepentingan diri sendiri, ahli keluarga serta pihak berkaitan yang mempunyai kepentingan.


“Najib kata ikut itu buku jingga negara ini bankrap saya nak tanya Datuk Seri (Najib Razak) ada belajar sejarah….tolong rakyat.


“Tapi tahu negara bangkrap pasal apa…pasal rasuah dan pmimpin-pemimpin curi harta rakyat," katanya.


Beliau memberi contoh negara seperti Tunisia yang mana pemimpinnya mengkhianati rakyat dengan mengambil harta dan wang rakyat demi kepentingan diri mereka.


Malah katanya, apa yang berlaku di Mesir adalah contoh di mana Hosni Mubarak selama 30 tahun pentadbirannya mengumpul kekayaan didakwa hingga tujuh puluh bilion dolar Amerika bersama isteri dan anaknya sehingga akhirnya menyebabkan rakyat menderita dan bangkit menjatuhkan dirinya.


Turut hadir, Naib Presiden PKR, Tian Chua; Ketua Angkatan Muda PKR, Shamsul Iskandar Md Akin; Pengerusi PKR Johor, Datuk Chua Jui Meng dan beberapa pemimpin Pakatan Rakyat Melaka dalam majlis menghimpunkan lebih dua ribu tetamu itu.


Anwar berkata, apa yang dipentingkan Pakatan Rakyat adalah kebajikan rakyat tanpa mengira kaum dan agama.


Jelasnya, sekiranya Pakatan Rakyat berjaya menawan Putrajaya pada pilihanraya umum akan datang pihaknya akan mengumumkan penurunan harga petrol demi meastikan rakyat tidak terbeban dengan kenaikan harga barangan itu pada masa ini.



Tiada ulasan: