Dekan dari Insaniah terima anugerah Tokoh Pendakwah

Khamis, 17 Februari 2011 15:50 | Ditulis oleh AMELIA HASHIM

ALOR SETAR, 14 Februari: Sempena sambutan Hari Maulidur Rassul Peringkat Negeri Kedah, Dekan Kuliah Syariah dan Undang-Undang Universiti Kolej Insaniah Prof Madya Dr Abdul Aziz Hanafi telah diiktiraf sebagai Tokoh Pendakwah manakala Imam Masjid Ulu Tawar Daerah Baling, Haji Abdul Wahab Che Li menerima anugerah Tokoh Imam bagi tahun Hijri 1432.


Sijil dan Penghargaan disampaikan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kedah sempena sambutan yang berlangsung di Dewan Sultan Abdul Halim Mua’dzam Shah Kolej Univeristi Insaniah.



Majlis turut dihadiri KDYMM Tuanku Sultanah dan Menteri Besar Kedah YAB Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak.


Prof Madya Dr Abdul Aziz berasal dari Arau Perlis dan mendapat didikan sekolah menengah agama di Perlis sebelum melanjut pelajaran ke Kolej Islam Petaling Jaya dan Universiti Al-Azhar Mesir.


Pernah bertugas sebagai pengarah di Kolej Islam Darul Ulum (2000-2007) dan pernah berkkhidmat sebagai Ketua Jabatan Syariah Institut Pengajian Islam di Brunei (1989-1999), seterusnya menerima lantikan sebagai Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Kedah dan Pakar Perunding Syariah di Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim) November 2010.


Beliau bersyukur dengan anugerah daripada Kerajaan Negeri dan disampai sendiri oleh KDYMM Tuanku Sultan merupakan anugerah tertinggi sebagai penghargaan terhadapi aktiviti beliau dalam bidang dakwah Islam.


Seorang lagi tokoh yang ditemui di majlis itu iaitu Haji Abdul Wahab Che Li yang menerima anugerah Tokoh Imam berkata, apa yang dilakukan selama ini adalah terbit dari hati yang ikhlas semata-mata kerana Allah dan tidak menyangka bahawa aktivitinya diperhati dan diberi penghargaan.


Bapa kepada tujuh anak dan enam cucu ini menjadi guru Kafa pada tahun 1981 sehingga sekarang dan pernah menjadi bilal.


Katanya, dia menjadi iman sejak tahun 1990 dan mendapat tauliah dari KDYMM Tuanku Sultan selapas 16 tahun berkhidmat sebagai imam di Masjid Ulu Tawar, Baling.


Selain menjadi guru Kafa, imam yang berasal dari Sedim ini juga bertugas sebagai khatib dan memegang beberapa jawatan dalam kariah masjidnya.

Tiada ulasan: