Sambutan Tiga Tahun Kedah Sejahtera 10-14 Mac 2010

ALOR SETAR – Sambutan Tiga Tahun Kedah Sejahtera anjuran kerajaan negeri Kedah memberi peluang kepada rakyat untuk memberi pandangan kepada kerajaan untuk kesejahteraan rakyat serta seluruh negeri Kedah.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Usahawan, YB Ustaz Abd Ghani Ahmad berkata, tujuan program ini untuk menyampaikan mesej kepada rakyat tentang pembaharuan dan perubahan yang dibuat oleh kerajaan negeri sepanjang tiga tahun memerintah negeri Kedah.

Sehubungan itu, rakyat juga berkesempatan memberi maklumbalas tentang cadangan baru secara langsung kepada kerajaan untuk kemajuan serta kesejahteraan negeri.

“Melalui program ini, kita dapati banyak impak yang kita akan perolehi daripada rakyat, di mana rakyat akan mendapat maklumat yang jelas dan tepat tentang perkembangan dan pembangunan negeri.



“Masyarakat akan menampilkan hak-hak mereka sebagai rakyat, apa yang mereka berhak dapat dan sekaligus akan mencelikkan hak mereka yang selama ini mungkin dipadamkan atau tidak dinyatakan, tetapi apabila kerajaan Pakatan Rakyat, kita zahirkan, bagi peluang, komen dan kritikan yang membina untuk kesejahteraan rakyat.

“Kemudian hasil maklumat-maklumat yang kita dapat, kita bertindak merancang dan melaksanakan program mengikut kehendak rakyat dan keperluan dari semasa ke semasa untuk menambah lagi keyakinan rakyat terhadap kerajaan yang mereka pilih,” ujar beliau merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan 3 Tahun Kedah Sejahtera.


Sambutan yang bermula 10 Mac hingga 14 Mac ini bertujuan memupuk dan mengukuhkan hubungan antara pimpinan kerajaan dan pentadbir kerajaan negeri bersama masyarakat menerusi penganjuran pelbagai aktiviti yang bermanfaat kepada rakyat.

“Program yang diatur bersesuaian kepada semua kaum dan pelbagai golongan masyarakat diharap memupuk perasaan muhibbah antara masyarakat berbilang kaum serta pimpinan kerajaan negeri,” ujar beliau.

1 ulasan:

cikgu berkata...

Ada sticker? leh hantar tak? Biarlah aura Kedah tu sampai kat selangor pulak.