Siasat syarikat tiada loji dapat benih padi




KUALA LUMPUR, 25 Nov: Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melakukan siasatan berhubung tindakan kerajaan membekalkan benih padi kepada syarikat individu yang didakwanya tidak mempunyai loji benih.

Siasatan juga harus dibuat terhadap pemberian kontrak membekalkan baja organik di bawah skim subsidi padi Malaysia kepada syarikat yang tidak berpengalaman dalam menghasilkan baja organik.
"Satu siasatan harus dibuat di peringkat dalaman dan juga oleh SPRM untuk melihat kenapa proses pemberian tender ini tidak dibuat secara telus iaitu diberi kepada syarikat yang sebahagiannya tidak mempunyai loji benih. Sebaliknya mereka ini menyewa loji benih di bawah Kementerian Pertanian.
"Kontrak membekal baja organik skim subsidi padi Malaysia 2010 juga diberi kepada syarikat yang tak ada pengalaman dalam membuat baja organik," kata beliau dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini.
Menurutnya, mengikut syarat yang ditetapkan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, hanya syarikat yang mempunyai loji benih sahaja layak menerima bekalan benih.
"Kenapa diberikan kepada satu syarikat yang tidak punya loji benih? Syaratnya ia mesti diberikan kepada syarikat yang ada loji benih untuk proses benih padi," katanya.
Beliau berkata, kementerian seharusnya mengutamakan Syarikat Perniagaan Peladang (Mada Sdn Bhd) untuk diberikan bekalan benih kerana ia memberikan pulangan yang lebih banyak kepada petani.
"Sepatutnya syarikat daripada Mada yang akan bagi pulangan kepada petani, ia harus diberi lebih banyak bekalan benih," katanya lagi.
Selasa lalu, Mahfuz membangkitkan perkara itu sewaktu berbahas di peringkat jawatankuasa di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.
Menterinya, Datuk Noh Omar dalam jawapannya mengakui salah satu syarikat individu iaitu syarikat Haji Mohd Nor Abdul Rahman yang mendapat 16,320 tan matrik benih ada kaitan dengan Tanjung Karang.
Justeru, tegas Mahfuz, SPRM harus melakukan siasatan segera berhubung perkara itu.

Tiada ulasan: