Ada kumpulan pengganas dalam negara kita?



KUALA LUMPUR, 22 Nov: Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub meminta Kementerian Luar memberikan laporan lengkap mengenai peranan pusat serantau Asia Tenggara yang diwujudkan bagi mencegah keganasan antarabangsa.



Berbahas di peringkat jawatankuasa Kementerian Luar di Dewan Rakyat hari ini, beliau berkata, rakyat hanya diberitahu kononnya wujud beberapa kumpulan pengganas di rantau ini namun tidak pernah dinyatakan maklumat lengkap.

"Adakah benar-benar berlaku dalam negara kita ada kumpulan pengganas dalam erti kata yang sebenar?

"Kita hanya mendengar kononnya ada kumpulan Al-Qaeda, JI, Kumpulan Abu Sayaf dan sebagainya jadi kita mahu dapat maklumat yang terperinci daripada Kementerian Luar Negeri tentang peranan pusat ini," kata beliau yang juga Naib Presiden PAS.

Salahuddin turut berkata, kementerian seharusnya memberikan penjelasan mengenai segala aktiviti pusat itu dan sejauh mana kejayaan yang telah dicapai.

"Kita ingin dapat perkembangan daripada pusat ini. Apakah aktiviti yang telah dijalankan dan sejauh mana kerja pengintipan yang telah dilakukan dan sejauh mana rekod-rekod boleh didedahkan," katanya.

Selain itu, beliau juga meminta kementerian menjelaskan dasar umum yang disepakati kerajaan berhubung jenayah rentas sempadan yang semakin kritikal membabitkan Malaysia dan luar negara.

Jenayah itu, ujarnya melibatkan pengedaran dan penyeludupan dadah, pemerdagangan manusia dan kes rakyat asing yang melakukan jenayah bersembunyi di negara ini dan sebaliknya.

"Apakah dasar-dasar umum yang telah disepakati dan sejauh mana perkembangan terhadap penyelesaian jenayah-jenayah rentas sempadan yang semakin kritikal dan memerlukan komitmen keselamatan kedua-dua negara," katanya.

Turut disentuh beliau mengenai isu hak asasi dan sosial pekerja Indonesia di negara ini yang belum selesai.

Menurutnya, penyelesaian isu ini memerlukan iltizam yang kuat daripada kedua-dua negara.

"Masih terdapat isu-isu yang belum dapat mencapai kata sepakat seperti mana yang diharapkan.

"Saya minta menteri dapat menjelaskan mengenai perkara ini supaya negara kita tidak mempunyai masalah untuk menerima kehadiran mereka untuk bekerja dalam sektor-sektor tertentu di negara ini," katanya.

Tiada ulasan: