Menara Warisan: Kerajaan Perlu Utama Pendapat Rakyat



SHAH ALAM 25 DIS: Umno-Barisan Nasional(BN) disifatkan bakal menghadapi tentangan suara rakyat sekiranya meneruskan projek pembinaan Menara Warisan setinggi 100 tingkat.

Ahli Parlimen Titiwangsa, Dr Lo' Lo' Mohd Ghazali berkata demikian mengulas kenyataan kajian Merdeka Centre yang mendedahkan hampir dua pertiga rakyat Malaysia yang terus membantah rancangan kerajaan untuk membina Menara Warisan tersebut.



"Sekiranya Umno teruskan juga projek tersebut, ini bermakna mereka akan menghadapi masalah dengan rakyat kerana rakyat tidak bersetuju, rakyat terasa terhimpit dengan kehidupan sedangkan kerajaan mahu membina projek yang tidak ada keperluan," katanya kepada Tv Selangor.

Kajiselidik Merdeka Centre yang membabitkan 1,005 responden di Semenanjung Malaysia itu, menunjukkan 65 peratus tidak bersetuju dengan rancangan tersebut, dan hanya 25 peratus yang menyokongnya.

Responden dari kalangan kaum Cina merupakan yang teramai - 75 peratus - yang membantah pembinaan menara itu.

Ini diikuti oleh responden Melayu (60 peratus) dan India (58 peratus).

Dr Lo' Lo' yang juga AJK PAS Pusat memberitahu sekiranya kerajaan Umno-BN angkuh dan meminggirkan suara bantahan rakyat, ia jelas mengambarkan moto 1 Malaysia yang kononnya 'Rakyat Di utamakan' itu hanya skrip politik semata-mata.

"Yang katakan 2/3 rakyat membantah itu, jelas suara rakyat yang meluah rasa ketidakpuasan hati mereka terhadap pembinaan projek tersebut,"katanya.

Pembinaan menara 100 tingkat itu, bakal mengatasi ketinggian Menara Berkembar Petronas, diumumkan dalam bajet Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak Oktober lalu.

Projek yang membabitkan kos sejumlah RM5 bilion, terus mendapat bantahan rakyat Malaysia dan Pakatan Rakyat dengan menganggapnya sebagai salah keutamaan.

Walau bagaimanapun, Dr Lo'Lo' ketika dihubungi berkata, pimpinan Pakatan Rakyat lebih cenderung menyarankan agar wang tersebut disalurkan untuk menambahbaik kemudahan pengangkutan awam, kebajikan atau infrastruktur sekaligus ia mampu memberi pulangan kepada kebajikan rakyat Malaysia.

"Kita jangan merujuk pembangunan di Malaysia Barat,sebaliknya renung nasib rakyat di Malaysia Timur juga, yang mana mereka jauh ketinggalan, dan disitulah sepatutnya pelaburannya, bukannya kepada menara 100 tingkat itu," katanya.

Tiada ulasan: