Permintaan rumah semakin tinggi

ALOR SETAR, 9 Mei – Keperluan rumah ketika ini adalah sebanyak 117,000 unit rumah sepertimana yang diperlukan oleh Jawatankuasa Perancang Bandar bagi memenuhi permintaan rakyat di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Kerja Raya, Pembangunan Luar Bandar dan Basmi Kemiskinan, YB. Dato’ Ir. Phahrolrazi Zawawi, kawasan Daerah Kuala Muda dan Kulim terdapat bekalan perumahan yang berlebihan berbanding lain-lain daerah di negeri ini.

“Apa yang kita dapati, kadar perumahan belum memenuhi permintaan dan lebih 80 peratus rumah dibina oleh pemaju swasta dan 20 peratus lagi dibina oleh agensi kerajaan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Pusat Pameran dan Pemasaran Hartanah dan Menandatangani MoU di antara Darulaman Aset Sdn Bhd (DASB) bersama Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) di Perkarangan Utama Wisma Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK), di sini.

“Ini tidak dikira pada tahun 2010 di mana hampir 60 peratus penduduk tinggal di taman-taman yang tersusun bukan di kampung-kampung tradisi atau astet-astet,” katanya.

Beliau yang mewakili Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak memberitahu, keperluan rumah cukup meningkat dan secara purata 100,000 unit rumah perlu dibina bagi memenuhi permintaan rakyat di negeri ini.

“Ini merupakan satu pertumbuhan ekonomi di negeri ini dan Kerajaan Negeri akan mempercepatkan permohonan kepada pemaju-pemaju bagi melaksanakan projek perumahan dan Rancangan Tempatan turut diluluskan mengikut zon-zon komersial,” jelasnya.

Bagi memenuhi keperluan rakyat, ujarnya, daerah-daerah lain juga turut dibangunkan dengan projek perumahan dalam usaha memberi keselesaan kepada rakyat di negeri ini.

“Dengan adanya pusat pameran dan pemasaran hartanah, ia mampu memberi ruang kepada pemaju-pemaju untuk mempromosikan projek perumahan yang terkini kepada rakyat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Eksekutif PKNK, Dato’ Haji Abdul Rahmah Ibrahim dalam ucapannya menjelaskan, semenjak diperbadanankan pada 25 Ogos 1965 di bawah Enakmen No.5/1965 Kerajaan Negeri Kedah, PKNK melalui anak-anak syarikat miliknya telah banyak terlibat dalam projek-projek pembangunan seperti pembangunan hartanah, pembangunan komersial dan industri, pelancongan, sektor perkhidmatan, sektor pembuatan dan pengeluaran, sektor pembinaan dan kuari.

“Selaras dengan matlamat kprporat PKNK untuk meningkatkan prestasi Kumpulan, PKNK telah menceburkan diri dalam bidang penjualan dan pemasaran hartanah melalui anak syarikat milik penuh PKNK iaitu Darulaman Aset Sdn Bhd (DASB) dengan modal berbayar sebanyak RM250,000,” ujarnya.

Beliau berkata, PKNK juga turut dilantik sebagai agensi peneraju perumahan di negeri ini bagi melaksanakan projek-projek perumahan dengan penuh tanggungjawab untuk kemudahan rakyat di negeri ini.

“Kita turut mewujudkan pusat pameran dan pemasaran hartanah bagi memberi peluang kepada rakyat untuk memiliki rumah,” tambahnya.

~WARTAKEDAH~

Tiada ulasan: