PR Sudah Sedia Untuk PRU-13

SHAH ALAM 4 MAC : Pakatan Rakyat (PR) sedia menghadapi apa jua cabaran serta ujian untuk membawa perubahan kepada negara ke tahap yang lebih tinggi pada bila-bila masa sahaja yang diinginkan oleh Perdana Menteri, Najib Razak.

Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang dihubungi TV Selangor berkata, bukan kemenangan sahaja yang diingini parti pembangkang, malah mereka bertekad untuk merampas semula kerajaan negeri yang ditumbangkan Umno-BN baru-baru ini.

“Cabarannya ialah sama ada kita boleh bawa perubahan ke tahap yang lebih tinggi. Bukan sahaja untuk menang atau menawan lebih banyak kerajaan negeri, tetapi mendapat semula kerajaan Perak yang dirampas Najib sendiri,"kata Kit Siang kepada Tv Selangor.



Bagaimanapun, sebagai wakil rakyat beliau sendiri tidak boleh mengulas lanjut atau menjangka tarikh PRU 13 kerana ia terletak di bawah bidang kuasa Perdana Menteri.

“Kemungkinan pilihanraya besar akan diadakan bila-bila masa. Najib sendiri tentu akan memilih masa emas untuk mengadakan pilihanraya. Namun dengan keadaan
ekonomi sekarang dan kepercayaan orang ramai, Najib dilihat seakan terdesak. Saya rasa pilihan raya Sarawak yang akan diadakan tidak lama lagi menjadi salah satu faktor yang menentukan keputusan beliau," tambah beliau.

Sementara itu, ahli parlimen Batu, Tian Chua juga senada dengan Kit Siang namun percaya Najib akan menggunakan kedudukannya untuk memberikan kelebihan kepada BN pada PRU-13 nanti.

Bagaimanapun pemimpin PKR itu ketika dihubungi berkata, Pakatan tidak pernah gusar atau gentar sekiranya Najib ingin mengadakan pilihanraya dalam masa terdekat.

“Saya pun rasa Najib buat kita letih sahaja. Sekarang itu adalah hak dia. Dia hendak buat, buatlah. Kita tidak kisah. Kalau dia nak buat pilihanraya, kita bersedia.

“Saya agak ini adalah sistem yang sering diamalkan di mana pembangkang tidak diberi masa yang cukup, dan ini memberi kelebihan kepada mereka,"tambahnya lagi.

Reuters hari ini melaporkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak menolak kemungkinan akan mengadakan pilihanraya umum awal dalam temubual bersama agensi berita itu.

Menurut Najib, prestasi yang baik pada pilihan raya negeri Sarawak akan membantu menilai tanggapan orang ramai dan kemungkinan akan memberikan petanda ke arah pilihanraya umum awal.

Tiada ulasan: